Sabtu, 15 Maret 2014

Hadist Tentang Solat



Solat Wajib

1. Dari Utsman r.a : Rasulullah saw bersabda, “Bagaimana pendapat mu andaikata di halaman depan rumah salah seorang di antara kalian ada sebuah sungai mengalir? Dia mandi di situ setiap lima kali sehari, maka tidakkah akan tersisa di tubuhnya kotoran?

Dia (seseorang) berkata, ‘Tidak akan ada sedikit pun yang tersisa (kotoran di badannya).’

Kemudian, beliau (SAW) bersabda, “Sesungguhnya solat itu menghapus dosa sebagaimana air menghapus kotoran.” [1154]

2. Dari Abu Qatadah bin Rib’i r.a : Rasulullah saw bersabda, “Allah SWT berfirman, ‘Aku telah mewajibkan atas umatmu lima (kali) waktu solat dan Aku telah membuat janji di sisi-Ku bahawa barangsiapa yang memelihara lima waktu ini maka dia akan Aku masukkan ke dalam syurga dan barangsiapa yang tidak menjaganya, maka tiada ada baginya janji-Ku.” Hasan [1160]

Solat Sunat

1. Dari Ummu Habibah binti Abu Sufyan r.anha : Nabi saw bersabda, “Barangsiapa yang solat sunah dalam satu hari satu malam dua belas rakaat maka akan dibangun untuknya sebuah rumah di syurga.” [1151]

Penjelasan :
Antara solat sunat yang dituntut kita mengerjakannya adalah 2 rakaat sebelum Subuh, 2 rakaat sebelum dan selepas Zohor (terdapat juga riwayat 4 rakaat sebelum zohor dan 2 rakaat sesudahnya), 2 rakaat selepas Maghrib dan 2 rakaat selepas Isyak.

Selain itu, solat tahajjud, solat witir, tahiyatul masjid, solat hari raya semuanya juga termasuk solat sunat yang dituntut. Di antara semua solat sunat yang paling utama adalah solat sunat 2 rakaat sebelum Subuh.

Tidak perlu dibayangkan rumah yang disediakan di syurga tersebut, yang penting kita sudah ‘menempah tiket’ ke syurga.

2. Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Apabila telah iqamat (untuk solat fardhu), maka tidak ada solat kecuali solat wajib (fardhu).” [0951]

3. Dari Qais bin Amr r.a, ia berkata : Nabi saw melihat seorang lelaki sedang solat dua rakaat setelah solat Subuh, lalu Rasulullah saw bertanya, “Apakah kamu solat Subuh dua kali?”

Lelaki tersebut berkata, ‘Aku belum melakukan solat dua rakaat sebelum Subuh, maka aku mengerjakannya (menggantikannya) sekarang.’

Berkata Qais bin Amr r.a, “Maka Rasulullah saw pun diam (membenarkan).” [0954]

Tahiyatul Masjid
4. Dari Abu Hurairah : Rasulullah saw bersabda, “Apabila salah seorang dari kalian masuk masjid, maka janganlah ia duduk sampai dia melakukan solat dua rakaat.” [0834]
5. Dari Jabir bin Abdullah r.a, katanya : Sulaik Al-Ghathafani pernah datang ke (solat) Jumaat ketika Rasulullah saw sedang berkhutbah, lalu dia terus duduk. Maka bersabda Rasulullah saw kepadanya,

“Hai, Sulaik! Berdirilah lalu solatlah terlebih dahulu dengan singkat dua rakaat.” Kemudian Beliau (Nabi saw) menambahkan, “Apabila kamu datang ke (solat) Jumaat dan imam sedang berkhutbah maka solatlah lebih dahulu dengan singkat dua rakaat.” [0825]

Solat Tahajjud
6. Dari Ibnu Abbas r.a : Apabila Rasulullah saw bangun tengah malam hendak solat tahajjud, Nabi saw membaca :

(Wahai Allah.. Untuk-Mulah segala puji. Engkau penanggung langit dan bumi beserta isinya. Untuk-Mulah segala puji. Penguasa langit dan bumi dan segala isinya. Untuk-Mulah segala puji ; Cahaya langit dan bumi.

Untuk-Mulah segala puji. Engkau Maha Benar, janji-Mu Maha Benar, menemui Engkau (di akhirat) Maha Benar, syurga Maha Benar, neraka Maha Benar, para Nabi Maha Benar dan Muhammad sollallaahu ‘alaihi wassalam Maha Benar dan hari kiamat Maha Benar.

Wahai Allah.. Saya pasrah kepada-Mu dan dengan Engkau aku beriman, kepada Engkau aku menyerah dan kepada Engkau aku kembali; dan kerana (mempertahankan agama) Engkau aku bermusuhan dan kepada Engkau aku meminta hukum.

Kerana itu ampunilah dosa-dosaku yang terdahulu dan terakhir, ampunilah apa yang ku rahsiakan mahupun yang ku nyatakan. Engkaulah yang mendahulukan dan yang mengemudiankan, tidak ada tuhan melainkan hanya Engkau dan tidak ada daya dan kekuatan melainkan di tangan Engkau ). [0581]

7. Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Waktu seseorang sedang tidur, syaitan membuat tiga buah simpul di kepalanya. Untuk setiap simpul ia (syaitan) mengatakan, ‘Tidurlah engkau sepanjang malam’.

Ketika terbangun, lalu dia (orang yang tidur) menyebut nama Allah, maka lepaslah satu simpul. Jika berwudhu’, lepas pulalah satu simpul. Dan jika dia solat terbukalah seluruh simpul.

Maka waktu bangun pagi ia akan merasa penuh semangat dengan badan yang segar bugar. Jika tidak, dia akan bangun pagi dengan perasaan serba tak enak dan malas.” [0599]

8. Dari Samurah r.a : Diceritakannya dari Nabi saw perihal mimpi. Nabi saw bersabda, “Barangsiapa bermimpi seolah-olah kepalanya dipukul orang dengan batu, ertinya orang itu mempelajari Al-Quran tetapi tidak diamalkannya dan solat wajib ditinggalkannya.” [0600]

9. Diberitakan oleh Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Allah tabaaraka wa ta’aala (Allah yang Maha Suci lagi Tinggi) turun ke langit dunia pada sepertiga yang akhir di setiap malam.(Notakaki)

Dia (Allah) berfirman : ‘Barangsiapa berdoa kepada-Ku akan Ku perkenankan doanya. Barangsiapa meminta kepada-Ku akan Ku beri dia. Siapa yang minta ampun, akan Ku ampuni dia.” [0602]

(Tambahan oleh Koleksi Hadis : Notakaki : Turunnya Allah ke langit dunia – Hendaklah kita biarkan seperti mana adanya, iaitu tanpa:

(1). Takyif (mempersoalkan kaifiatnya/hakikatnya)

(2). Tasybih (penyerupaan)

(3). Ta’thil (penolakan)

Wajar saya tambahkan kata-kata Na’im bin Hammad al-Khuza’i (guru Imam al-Bukhari). Beliau mengatakan, ‘Barangsiapa menyerupakan Allah dengan makhluk-Nya, maka ia kafir. Dan barangsiapa mengingkari sifat yang telah Allah berikan untuk diri-Nya sendiri, bererti ia juga telah kafir.”

Barangsiapa yang menetapkan bagi Allah Ta’ala setiap apa yang disebutkan oleh Al-Quran yang jelas dan hadis-hadis sahih dengan pengertian yang sesuai dengan kebesaran Allah, serta menafikan kekurangan-Nya, bererti ia telah menempuh jalan petunjuk. (RUJUKAN : Tafsir Ibn Katsir – Tafsir Surah Al-A’raaf [7] : Ayat 54 pada mukasurat : 392)

Solat Istikharah
10. Dari Jabir bin Abdullah r.a : Rasulullah saw mengajarkan kepada kami solat istikharah untuk segala urusan, seperti dia mengajarkan kepada kami surah Al-Quran.

Sabda Beliau (Nabi saw), “Apabila seseorang kamu hendak melakukan sesuatu pekerjaan, lebih dahulu hendaklah solat dua rakaat yang bukan fardhu (solat sunat), kemudian membaca doa:

Terjemahan : Wahai Allah. Sesungguhnya aku mohon pilihan kepada Engkau dengan ilmu Engkau, dan mohon kuasa kepada Engkau dengan kekuasaan Engkau, dan aku meminta kepada Engkau kurnia-Mu yang Maha Agung. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa, sedangkan aku tidak (ber)kuasa. Dan Engkau Maha Tahu, sedangkan aku tidak tahu. Dan Engkau Maha Tahu segala yang ghaib.

Wahai Allah. Jika menurut pengetahuan-Mu pekerjaan ini baik bagi agamaku, bagi kehidupanku dan akibat kesudahannya, maka berilah aku kesanggupan untuk melaksanakannya serta mudahkanlah ia bagiku, kemudian berikan berkat bagiku padanya.

Dan jika menurut pengetahuan-Mu pekerjaan ini tidak baik bagi agama, kehidupan serta akhir kesudahannya, maka singkirkanlah ia dariku dan jauhkanlah aku daripadanya serta tukarlah bagiku dengan yang lebih baik daripadanya, kemudian redhailah dia bagiku .” [0612]

11. Dari Abu Qatadah bin Rib’i Al- Anshari r.a : Nabi saw bersabda, “Apabila seseorang kamu masuk ke dalam masjid, janganlah duduk lebih dahulu sebelum solat dua rakaat.” [0613]

12. Dari Jabir r.a : Rasulullah saw bersabda ketika Beliau sedang berkhutbah, katanya “Apabila seseorang kamu masuk masjid dan imam sedang berkhutbah, atau dia telah datang untuk itu, solatlah kamu lebih dahulu dua rakaat (sebelum duduk).” [0615]

13. Dari Abu Hurairah r.a : Nabi saw berpesan kepadaku supaya aku melakukan solat dhuha dua rakaat. [0616]

14. Dari ‘Aisyah r.ha : Tidak ada solat Nawafil (sunat) yang lebih diutamakan oleh Nabi saw dari solat sunat lainnya selain daripada dua rakaat sunat fajar. [0617]

15. Dari ‘Aisyah r.ha : Rasulullah saw melakukan dua rakaat solat sunat sebelum subuh dengan cara yang ringan, sehingga aku tertanya-tanya dalam hatiku adakah Nabi saw membaca Al-Fatihah (atau tidak). [0618]


Tidak ada komentar:

Posting Komentar